Thursday, August 25, 2011

Tika Ramadhan Itu (Part 2)

~Assalamualaikum wbt~
~Sambungan daripada Part 1...

Pagi itu, Luqman bangkit dari tidurnya. Keluarganya masih nyenyak dibuai mimpi. Luqman mulai mengejut keluarganya seorang demi seorang. Semuanya mengeliat kerana masih mengantuk.

Makanan yang terhidang hanya beberapa biji kurma, nasi goreng dan air kosong. Cukup untuk memberi tenaga buat mereka. Fitri masih nyenyak di atas tilam. Sudah beberapa kali dikejutkan namun tidak pula dia bangun.

"Adik ni asyik tak puasa je," Taufiq mula mengomel.

"Takpelah. Dia kecil lagi. Tak boleh dipaksa sangat," Kalsum pula bersuara.

"Taufiq pun dulu macam tu. Janganlah jealous sangat," Luqman bersuara setelah habis mengunyah makanan.

Taufiq mencebik wajahnya. Hamidah terasa ingin ketawa pula melihat gelagat adiknya. Taufiq selalu sahaja cuba mencari kesalahan Fitri. Selalu sahaja ingin berkelahi. Namun, masih memerlukan antara satu sama lain.

Habis sahaja bersahur, mereka sekeluarga bersiap-siap untuk meraikan tibanya waktu Subuh. Air wudhuk menyegarkan wajah mereka. Ayat suci Al-Quran dibaca sementara menunggu waktu itu tiba. Itulah rutin mereka setiap hari pabila bulan Ramadhan.

Terdengar azan Subuh berkumandang. Masing-masing berdiri di kedudukan mereka. Luqman sebagai ketua keluarga bertanggungjawab menjadi imam. Walaupun dalam keadaan hidup yang susah namun keluarga mereka sentiasa menitikberatkan kepentingan agama.

Sesudah menunaikan solat Subuh, mereka sekalian tidur semula kecuali Luqman. Dia bersiap-siap untuk keluar. Masih lagi cuba menyembunyikan keresahan dalam dirinya. Tidak mahu Kalsum gusar dengan keadaan dirinya. Biar dia sendiri menanggung kesusahan ini.

Matanya ligat memandang kiri dan kanan. Kedai-kedai masih belum buka. Ada yang sudah mula mencari rezeki. Di kala itu, dia hanya memandang satu persatu kedai-kedai yang ada. Hatinya berdoa, rezeki akan tiba pada hari ini. Masih terngiang-ngiang suara itu.

"Abah kena beli cepat-cepat tau. Minggu depan nak raya."

(Insya-Allah, bakal bersambung. Terima kasih sebab sudi baca. Wassalam~)

0 0000 je berani komen: