Sunday, August 28, 2011

Tika Ramadhan Itu (Part 4)

~Assalamualaikum wbt~
~Sambungan daripada Part 3...

Nasi berlaukkan ikan disuapnya ke dalam mulut. Wajah anak-anaknya ditenung satu demi satu. Wajah mereka diselubungi dengan perasaan gembira. Masakan tidak. Tak lama lagi, raya akan menjelma.

Pandang ke mana-mana sahaja, pasti akan ketemu dengan banner yang mengucapkan Selamat Hari Raya. Lagu Hari Raya juga dimainkan di mana-mana sahaja. Adakalanya, terdengar mercun di mana-mana. Meriah sungguh.

"Abah, Abah dah beli kasut raya adik?"

Terdiam. Mata melirik ke arah Fitri. Wajah anak bongsunya itu masih dalam perasaan ceria. Menanti jawapan daripada ayah kesayangannya.

"Jangan risau. Nanti Abah belikan ek."

Fitri mengangguk lalu meneruskan makannya. Kalsum memandang wajah suaminya itu. Sungguh dia ingin membantu namun ego suaminya itu tidak mahu jua runtuh. Kasihan melihat Luqman terlalu bekerja keras demi Fitri.

***

Tangannya mulai kecut. Terasa sungguh penat. Selepas berbuka puasa dan solat Maghrib di rumah tadi, Luqman terus datang ke restoran untuk bekerja. Pinggan mangkuk begitu banyak untuk dicuci. Namun, dia tidak mahu mengeluh.

Rasulullah saw menghadapi dugaan yang jauh lebih besar. Jadi, tidaklah sesuai hamba yang lemah seperti dirinya mengeluh hanya kerana sebuah ujian. Bilik steward itu sunyi. Tiada orang selain dirinya.

Akhirnya, habis juga pinggan mangkuk dicuci. Luqman duduk sebentar. Tangannya ditatap lama. Kecut. Jarinya mulai mengelupas. Sepatutnya Luqman sarungkan sahaja sarung tangan namun disebabkan licin maka dia takut ada pinggan mangkuk akan terjatuh dari tangannya.

"Woi, Luqman! Boleh lagi kau relax kan? Ni banyak lagi pinggan kat bawah ni. Cepat basuh!"

Luqman bingkas bangun. Sungguh dia tidak sedar masih ada pinggan mangkuk yang perlu dicuci. Diambilnya pinggan mangkuk yang kotor lantas dicucinya. Tiba-tiba terasa tangannya sakit. Terus ditatap tangannya. LUKA! Air paip yang mengalir terus digunakan untuk mencuci tangannya. Pedih.

"Luqman, kenapa tu?"

Dia berpaling. Tuan muda itu memandangnya. Mungkin sedang memeriksa setiap anak-anak buahnya. Itulah rutinnya setiap hari. Memastikan anak-anak buahnya menjalankan tanggungjawab dengan amanah dan saksama. Luqman sungguh hormati akan Tuan muda itu. Walaupun masih muda tetapi sangat berwibawa.

"Takde apa-apa."

"Kamu ni kerja kuat sangat. Rehatlah sekejap."

"Eh, takpe. Kalau saya tangguh-tangguhkan kerja, tak siap semua ni. Customer pun banyak. Nanti pinggan mangkuk tak cukup pula."

"Tak lama lagi Raya. Jadi, saya ingat nak kasi Luqman gaji awal sikit. Mesti Luqman nak beli apa-apa kan untuk anak-anak."

"Takpe, Tuan. Tak adil untuk pekerja-pekerja lain."

"Kamu pun dah kerja sini seminggu. Beberapa hari lagi nak Raya. Nanti malam ni, datang ke pejabat saya."

Tuan muda itu terus meninggalkannya. Luqman tidak mampu untuk berkata apa-apa. Dia hanya mampu bersyukur ke hadrat Ilahi kerana rezeki tiba pada malam itu.

***

"Kenapa dengan tangan Abang ni?"

Kalsum tampak risau melihat kulit tangan suaminya mengelupas. Ada juga luka-luka pada tangannya. Itu menambahkan risau Kalsum.

"Jangan risau. Abang takde apa-apa. Buatkan Abang kopi."

Itulah Luqman. Suka benar minum kopi sebelum tidur. Itulah minuman yang mampu menenangkan fikirannya. Masih lagi dirahsiakan tentang pekerjaan barunya itu daripada pengetahuan keluarganya.

Sambil menghirup air kopi, Luqman mengira duitnya. Dia tersenyum. Sudah cukup untuk membeli kasut raya impian anaknya, Fitri. Namun, hutang Damiri masih perlu diselesaikan. Kalsum duduk di sebelahnya.

"Kalsum, kalau dah emergency sangat nanti, gunalah duit simpanan Abang dulu. Kalau tak cukup, barulah guna duit Kalsum."

"Abang, Insya-Allah, kita dapat harungi semua ni sama-sama."

"Kita tak tahu masa depan kita, Kalsum."

Diam. Luqman memandang anak-anaknya yang sedang tidur. Dikucup dahi anak-anaknya seorang demi seorang.

***

Sebaik sahaja solat Zuhur, Luqman terus keluar rumah. Dengan lafaz Basmallah, dia memulakan perjalanannya. Senyuman masih terukir pada bibirnya. Semangat dalam dirinya menyinari kehidupannya. Akhirnya, impian Fitri tercapai.

Dia meneliti satu persatu kasut yang ada di hadapannya. Tiada yang sama dengan kehendak anaknya. Luqman pergi pula ke kedai lain. Masih sama. Dia terus berzikir kepada Ilahi, semoga rezekinya pada hari ini ada. Dan di dalam sebuah kedai, matanya terpaku pada satu sudut.

"Encik, saya nak kasut tu."

Pekerja itu mendapatkan kasut itu lalu menghulurkannya kepada Luqman. Dia membelek-belek kasut tersebut. Saiznya hampir sama dengan Fitri. Kasut itu juga sama dengan gambar yang pernah Fitri berikan dahulu.

'Saya nak kasut ni. Saiz yang sama. Terima kasih."

Masih lagi terukir senyuman pada bibir Luqman. Hatinya kini senang. Pasti Fitri akan melonjak kegembiran. Pasti Fitri akan mengucup pipinya berkali-kali. Setelah membayar harga kasut tersebut, Fitri meneruskan perjalanannya.

Matanya terpahat lagi pada sebuah kedai. Ada dijual selendang dan songkok. Seingatnya, songkok Taufiq sudah kecil. Hendak memakai songkoknya, terlalu besar pula. Terlihat selendang yang berharga sepuluh ringgit itu, terus dibeleknya. Pasti Kalsum dan Hamidah suka akan selendang ini. Dibelinya semua itu sempena raya yang akan tiba.

Luqman dapat membayangkan kegembiraan yang terpancar pada wajah keluarganya. Hanya itu sahaja yang diinginkannya kini. Kegembiraan. Luqman melangkah ke seberang. Bibirnya masih terkumat-kamit berzikir menandakan kesyukuran terhadap Ilahi.

Tiba-tiba badan Luqman terasa seperti dihempap batu. Sakitnya hanya Allah sahaja yang mengetahui. Badannya melayan ke udara dan terguling-guling pula di atas jalan raya. Sedar tak sedar, terasa ada aliran di atas kepalanya. Merah. Matanya menatap beg-beg yang berisi hadiah buat keluarga. Tangan kanannya cuba mencapai beg-beg tersebut.

"Encik! Astagfirullah Al Azim!"

"Telefon ambulans cepat!"

"Encik, bertahan encik!"

Mata Luqman melirik ke arah mereka yang berada di sekelilingnya. Namun, matanya terus memandang beg-beg itu. Tangan kanannya memegang erat kasut Fitri, songkok Taufiq dan selendang Kalsum dengan Hamidah. Harta itu dipeluknya.

"Maaf..kan.. A..bah.. Allah... Allah.. Allah.."

Saat itu matanya terpejam erat di saat harta-harta itu di dalam pelukannya.

~Tamat. Wassalam~

2 0000 je berani komen:

SITI NURFARHANA MOHD ISHAK said...

nice story sis, love to read all your story. Pengorbanan bapa sangat berharga.

Atiqah Safian said...

Terima kasih sebab sudi membaca. Walaupun pengorbanan bapa tu tampak mudah tapi sebenarnya beban itu hanya mereka sahaja yang tau. Sayangilah bapa kita. :)