Wednesday, August 24, 2011

Tika Ramadhan Itu

~Assalamualaikum wbt~
~Kakinya terus melangkah. Berat sungguh hatinya. Difikirkan seribu satu alasan. Namun, sukar. Hati terus bergelumang dengan perasaan serba salah. Apa yang harus dilakukannya kini? Ke mana lagi harus dia tuju? 'Ya Allah, kuatkanlah iman hamba-Mu ini,' desis hatinya.

Matanya terpahat pada rumah usang itu. Rumah setinggan. Itulah yang digelarkan oleh umat manusia sekalian. Kecil namun cukup bermakna buatnya. Setinggan ataupun tidak, ia tetap rumah untuk dirinya berteduh.

Masuk sahaja ke dalam rumah itu, terlihat anak-anak kecil sedang membaca buku. Salah seorang daripadanya memandangnya lalu terus mendekatinya.

"Abah, awal balik hari ni."

"Hmm. Sengaja nak balik awal. Pergilah sambung belajar."

Anak sulongnya, Hamidah hanya menurut. Baru sahaja dia melabuhkan punggungnya, isterinya pula mengurut belakangnya. Sungguh dia lega. Tekanannya terasa berkurang buat sementara waktu. Tiba-tiba terdengar pintu rumahnya diketuk. Kasar. Dia bangkit dan pintu itu terkuak.

"Luqman! Bila engkau nak bayar hutang aku?"

Damiri berkata dengan penuh amarah. Wajah Luqman tampak tenang. Dia mengeluh buat seketika. Hutang? Astaghfirullah Al Azim. Begitu banyak bebanannya kini. Sungguh hidupnya kini tidak terurus.

"Damiri, aku minta tangguh sebulan lagi boleh tak?"

"Kau ni, Luqman. Kau selalu macam ni. Hutang tetap hutang. Kena bayar. Jangan sampai aku jadi macam Along baru kau nak bayar."

"Aku minta maaf. Tapi sekarang ni, aku memang terdesak sangat. Insya-Allah, aku bayar bulan depan."

"Ingat! Ni amaran terakhir. Lepas ni, aku takkan bagi kau belas kasihan."

Damiri meninggalkannya. Terasa badannya sungguh lemah. Baru sahaja hari ini dia dipecat. Apa lagi dugaan yang akan tiba? Namun, Luqman cuba kuatkan dirinya lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini. Bulan yang terlalu mulia maka tidak sepatutnya dia mengeluh.

"Abang, guna je lah duit simpanan saya. Insya-Allah, saya rasa cukup untuk bayar hutang-hutang tu."

"Takpelah. Duit tu gunalah bila kecemasan nanti. Buat masa ni, biar Abang cuba cari duit semua tu dulu."

Isterinya, Kalsom hanya mengangguk. Tiba-tiba terasa baju Luqman ditarik. Dia berpaling dan terlihat anak bongsunya, Fitri. Anaknya itu sedang memegang sekeping gambar lalu dihulurkannya kepada Luqman. Luqman menyambutnya dan memandang gambar tersebut.

"Abah, adik nak kasut tu boleh tak? Kasut adik dah koyak. Nanti adik takde kasut nak pakai bila raya."

"Adik pakai je lah kasut sekolah," abangnya, Taufiq bersuara lantang.

"Alar.. Tak aci! Angah dengan Kaklong ada kasut raya. Adik takde," Fitri mengomel.

Maka, makin bermulalah peperangan antara Taufiq dan Fitri. Segera Hamidah cuba menghentikan pergaduhan dua beradiknya itu.

"Dah! Dah! Jangan gaduh. Nanti Abah belikan okey," Luqman meninggikan suaranya.

"Abah kena beli cepat-cepat tau. Minggu depan nak raya," Fitri sudah mula tersenyum.

Mata Luqman tiba-tiba terbeliak. Minggu depan dah nak raya? Sungguh dia terlupa. Terlalu kusyuk mencari rezeki hingga terlupa raya sudah menghampiri. Di saat itu, dia mula khuatir. Perlukah duit yang dikumpulnya kini dikorbankan sekali lagi?

(Insya-Allah, bersambung. Terima kasih sebab sudi baca. Wassalam~)

0 0000 je berani komen: