Friday, October 7, 2011

Karma ( Part 7 )

~Assalamualaikum wbt~


( Sambungan daripada Part 6 )

Sujud yang terakhir, lama masa yang diambil. Dia bangkit untuk tahiyyat akhir. Diberi salam dan tangannya ditadah untuk berdoa. Tanpa sedar, air matanya mengalir, membasahi pipi. Sebentar lagi.. Sebentar sahaja lagi.

Aina memandang sekeliling. Hanya beberapa sahaja manusia di dalam masjid. Dan dia satu-satunya gadis muda yang solat di situ. Yang lain kesemuanya sudah tampak dewasa. Di mana hilangnya anak-anak muda? Sibuk dengan dunia? Sibuk dengan keseronokan? Entah. Aina sendiri tidak pasti.

Telekung dilipat rapi dan dimasukkan ke dalam beg. Kepalanya ditutup pula dengan tudung. Dipandang lama cermin di hadapannya. Ini saatnya. Aina menarik nafas panjang. Tiada masa untuknya memandang belakang lagi. Dia sudah pergi sejauh ini. Dia perlu meneruskan perjalanannya.

***

Aina keluar dari keretanya. HEAVEN. Itu yang tertera pada pintu bangunan itu. Kakinya terasa berat ingin melangkah. Dengan bacaan Basmallah, Aina cuba masuk ke dalam namun ada seorang lelaki bertubuh sasa menghalang perjalanannya.

Aina mengetap bibirnya memikirkan sesuatu. Setelah berfikir panjang, Aina mengeluarkan not RM100 dan cuba dianggapnya darurat. 'Ya Allah Ya Tuhanku. Aku melakukan semua ini untuk menyelamatkan mereka yang tidak berdosa. Ampunilah dosaku ini.' desis hati Aina. Lelaki bertubuh sasa itu mengambil duit tersebut lalu membenarkan Aina masuk.

Masuk sahaja, lagu berdengung kuat di telinga Aina. Terasa hendak pekak sahaja telinga Aina. Terus ditutup kedua-dua telinga. Dipandang pula sekeliling. Banyak gadis menari-nari di situ. Tanpa segan silu, membiarkan tubuh mereka diramas oleh lelaki-lelaki yang kelaparan.

Matanya melirik ke tempat lain. Ternampak pula mereka yang sedang minum air kencing syaitan dengan lagaknya. Ada juga tanpa segan silu sedang bercumbu-cumbuan. Saat itu, Aina terasa hendak menangis dan melarikan diri dari tempat itu.

'Ya Allah, lindungilah aku sebagaimana Engkau melindungi hamba-Mu yang lain. Teguhkanlah imanku.' Aina beberapa kali berdoa. Sungguh dia benar-benar takut akan situasi ini. Dicuba tidak tersentuh dengan lelaki. Kakinya melangkah ke arah bar.

"Minum apa, cik adik?"

Lelaki yang bekerja di meja bar itu mendekatinya. Aina takut-takut namun dia cuba menghilangkan rasa gelisahnya.

"Coke please.."

"You're sure? Tak nak kuat lagi?"

Aina menggeleng kepalanya. Lelaki itu meninggalkan Aina bersendirian. Aina memandang sekeliling, mencari-cari sesuatu. Dia tidak pasti apa yang dicari namun dia cuba memberanikan dirinya. Lelaki tadi menghulurkan gelas yang berisi air Coke di dalamnya.

"Ni memang coke kan?"

"Don't worry dear.. Apa yang customer minta, tu yang saya sediakan."

Aina hanya tersenyum namun tidak dihirup air Coke tersebut. Matanya terpandang kepada dua pasangan di sebelah. Mereka sedang berbual dengan mesranya lalu bercumbu-cumbuan dengan rakusnya. Aina terkejut lalu melarikan anak matanya. Dia beristighfar banyak-banyak. Akhirnya, dia berpaling dan tiba-tiba terasa dirinya terlanggar terhadap sesuatu yang bersaiz besar.

"Ouch !"

"Are you okey, miss ?"

Tangannya diurut seketika sebelum dia bangkit dari tempat dia terjatuh. Sebaik sahaja dia berdiri, Aina memandang orang yang dilanggarnya tadi. Mata Aina terbeliak seluas-luasnya. Lidahnya tiba-tiba terasa kelu.

"SAIFUL?"

( Insya-Allah, akan bersambung. Terima kasih sebab sudi baca. Wassalam )

0 0000 je berani komen: