Monday, October 10, 2011

Karma ( Part 11 )

~Assalamualaikum wbt~


( Sambungan daripada Part 10 )

Badan Aina menggigil semula pabila mata Saiful tajam memandang wajahnya. Pabila Saiful mendekati Aina, bibir Aina terketar-ketar. Terkumat-kamit bibir Aina menyebut nama Allah. Hatinya tidak berhenti berdoa meminta perlindungan.

Tangan Saiful masih lagi memegang pisau dengan erat. Aina memandang sahaja, mengharapkan Saiful tidak mengapa-apakan dirinya. Saiful melutut sambil matanya terus terpaku memandang wajah Aina.

"Aku tahu aku dah melebih, Aina. Tapi aku buat semua ni bukan sebab dendam. Aku cuma nak selamatkan ibu aku je. Cara macam tu je akan buatkan dia berhenti tapi aku tak sangka pula dia mati. Aku tak sengaja. Tapi bagitau aku, Aina. Adakah dengan kata-kata lembut kau tu mampu menyedarkan Huda?"

Aina terdiam. Ya. Huda seorang yang agak sosial. Sudah beberapa kali dia cuba menyedarkan Huda namun gadis itu hanya memekakkan telinganya sahaja.

"Tak mampu kan? Jadi, aku buat semua ni supaya dorang sedar, semua ni sifat sementara sahaja. Kecantikan pada tubuh badan tidak akan berkekalan. Seksaan semua ni sikit je kalau dibandingkan seksaan di neraka nanti."

Hati Aina terasa sebak. Tiba-tiba Aina terkenang kenangan dia bersama-sama Saiful di rumah anak-anak yatim. Senyuman Saiful yang tersimpan seribu satu kepahitan. Saiful tidak ubah seperti abangnya sendiri. Hatinya Aina terasa begitu berat namun...

"Maafkan aku, Saiful."

Kaki Aina tiba-tiba sahaja menolak pisau di tangan Saiful ke arah perut lelaki itu sendiri. Dia cuba bangkit walaupun badannya masih terikat pada kerusi. Dirempuh badan lelaki itu hingga Saiful meraung kesakitan.

Pisau yang tercampak jauh terus Aina kutip dengan sukarnya. Dia cuba berhati-hati memotong ikatan tersebut. Saiful yang cedera cuba bangkit dengan lemah. Aina yang sudah melepaskan diri terus memberi sepakan 'flap kick' ke arah wajahnya. Sekali lagi, Saiful rebah.

Nasib Aina baik kerana dahulu ayahnya pernah memaksanya untuk mengikuti latihan karate do. Memang sungguh berbaloi. Terus Aina mengikat tangan dan kaki Saiful yang masih lemah akibat darah yang tidak berhenti mengalir.

Terus dilepaskan pula Fazira yang masih lagi tidak berhenti menangis. Mereka saling berpelukan. Aina memandang wajah Saiful yang semakin pucat.

"Saiful. Dengan kekasaran jua tak mampu mengubahkan seseorang manusia. Kita sudah jalankan tanggungjawab kita untuk membawa dorang ke arah jalan yang benar. Tapi dorang sendiri yang perlu memilih jalan yang dorang nak masuk. Takdir itu takkan berubah kalau dorang sendiri yang tak nak berubah. Ingatlah, Saiful. Islam itu bukan agama yang memaksa."

***

Aina merenung jauh memandang keindahan ciptaan Allah swt. Terasa hebat sekali malah hebat lagi keadaan di syurga nanti. Tapi entah pula bagaimana keadaan di neraka. Pasti mengerikan malah lebih buruk daripada segala ngeri di dunia ini. Malah, semestinya lebih ngeri daripada seksaan yang berlaku di hadapan matanya sendiri.

"Teringatkan Saiful lagi?"

Lamunan Aina terganggu. Dia mencari-cari suara tadi. Terlihat susuk tubuh badan yang kecil duduk bersebelahan dengannya. Huda. Tampak lebih manis daripada selalu bersama-sama tudungnya serta berbaju kurung.

Saiful. Sudah lama tidak mendengar khabar lelaki itu. Ayah kata, dia dimasukkan ke hospital bahagia demi mendapatkan rawatan. Tapi ada juga yang berkata dia dimasukkan terus ke lokap dan bakal menerima hukuman gantung sampai mati.

Bukan Aina sudah tidak peduli akan Saiful. Namun, dia perlukan ketenangan. Begitu jua Fariza yang kini cuba mencari kehidupan baru. Huda pula tampaknya sudah mencari sinar cahaya keimanan. Aina sungguh bangga dengan Huda.

"Aina, janganlah terlalu benci akan Saiful. Kalau Huda, Huda terasa nak berterima kasih dengan dia."

Berterima kasih dengan seseorang yang telah menyeksa kita? Adakah Huda sudah tidak siuman? Aina memandang wajah Huda yang tersenyum dengan seribu satu tanda tanya.

"Mungkin betul, sebelum ni Huda cuma tutup aurat sebab malu nak tunjuk badan Huda yang dah cacat ni. Tapi lama-lama Huda rasa dah terbiasa pula dan dah mula tutup aurat kerana itu adalah suruhan-Nya, bukan kerana malu kepada manusia. Allah menghantar Aina kepada Huda untuk bagi kesedaran secara lembut tapi Huda tak nak dengar. Allah hantar pula Saiful. Allah tampaknya masih sayang dekat Huda yang jahil ni."

"Aina.. Saiful pada awalnya tegur Huda tapi Huda tak boleh terima. Huda memang silap sebab Huda ingat diri Huda je betul. Huda tak nak jadi hipokrit pada manusia tapi Huda hipokrit pada Allah. Mungkin kalau semua ni tak terjadi, Huda takkan sedar semua ni. Semua ada hikmah-Nya. Huda tak hormat pada diri Huda jadi orang lain pun tak hormat Huda macam Saiful tu. Tapi dia sangat hormat Aina dengan Fazira sebab korang hormat diri korang sendiri."

"Menutup aurat bukan sekadar untuk dapatkan keredhaan-Nya. Tapi kerana ingin melindungi diri daripada manusia yang ada niat yang tidak baik kepada kita. Kita dapat elakkan fitnah dan pandangan yang tidak baik daripada kaum lelaki. Huda pun dah faham sekarang kan?" Aina pula berkata-kata.

Huda tersenyum manis. Aina pula membalas dengan senyuman yang lebih lebar. Akhirnya, Huda sedar kepentingan menutup aurat itu. Tapi entah berapa ramai lagi manusia di luar sana yang sependapat dengan Huda. Dan entah berapa ramai hamba Allah di dunia ini sedar bahawa hari yang dijanjikan semakin tiba. 'Ya Allah, Kau berikanlah hidayah kepada hamba-Mu ini.' desis hati Aina.

- Tamat -

( Alhamdulillah. Tamat sudah. Terima kasih sebab sudi baca. Wassalam~ )

Sunday, October 9, 2011

Karma ( Part 10 )

~Assalamualaikum wbt~


( Sambungan daripada Part 9 )

Lama Saiful memerhati pisau di tangannya. Tiba-tiba terasa badannya ditepuk kasar. Dia memalingkan wajahnya dan terlihat ibunya sedang memeluk tubuh.

"Lepas ni, kau pula yang kena cari kerja. Faham?"

Mata Saiful kuyu. Kenapa begitu sukar ibunya memahami perasaannya kini? Kenapa tidak dibuang sahaja dirinya? Adakah ada sedikit kasih sayang di hati ibunya? Adakah mungkin di sebalik wajah ngerinya itu, wujud kesedihan atas kehilangan Baizura? Jika benar, sungguh Saiful masih menyayangi ibunya itu.

"Kalau Saiful kerja, boleh ibu tak ibu berhenti kerja?"

Tiba-tiba terasa pipi Saiful ditampar dengan kuat. Saiful sungkur, rebah ke bumi. Pipinya merah menyala. Kali ini, dia tidak mampu menyembunyikan tangisan air matanya lagi. Dia cuba bangkit tanpa memandang wajah ibunya.

"Kau ingat kau siapa, hah? Kalau aku tak kerja, kau tak makan tau! Kau nak aku berhenti, hancurkan badan aku ni dulu !"

Saiful masih memegang erat pisau di tangannya. Terkumat-kamit bibirnya menyebut perkataan syurga. Dia kini bangkit lalu memandang wajah ibunya yang masih merah menahan perasaan marah. Secara tiba-tiba dia tersenyum sinis.

"Takpe ibu.. Saiful bawa ibu ke syurga ek.."

Dan tanpa apa-apa amaran, Saiful terus menikam ibunya dengan pisau. Terkejut ibunya. Badannya terjatuh dan darah terus mengalir. Ditarik rambut ibunya yang lemah ke bilik kurungan. Dikunci bilik tersebut lalu dipandang tajam ke arah ibunya.

"Saiful.. Berhenti Saiful.."

Ibunya terus merayu, meminta simpati daripada satu-satu anaknya itu. Namun Saiful tetap mendekati ibunya lalu ditarik rambutnya yang panjang. Dipotong rambut tersebut. Tangisan ibunya bagaikan tiada makna. Dipotong sehingga botak hinggakan kepalanya luka-luka.

"Rambut ibu yang cantik ni kena potong.. Lepas ni, takde siapa nak pandang rambut ibu ni lagi.."

Tanpa rasa belas ihsan, Saiful menyiat pula kulit ibunya. Meraung ibunya kesakitan namun Saiful tetap memekakkan telinga. Dia hanya terus dengan angannya sambil menyebut perkataan 'syurga'. Hatinya kini benar-benar kosong. Dia terus memberi seksaan kepada ibunya. Yang tinggal hanyalah wajah dan kedua-dua telapak tangannya.

"Aurat wanita itu ialah seluruh tubuhnya kecuali wajah dan tapak tangannya. Sekarang, badan ibu dah hancur. Ibu berhenti kerja ek.."

Diam. Saiful memandang jasad ibunya yang mengerikan. Barulah dia fahami ibunya sudah tidak bernyawa lagi. Dia mengambil pelita di dapur lalu sengaja dijatuhkan pada rumah papannya. API! Terus menyelinap segala ruang isi rumahnya. Saiful duduk di tepi hujung rumahnya, duduk memeluk lututnya.

"Takpe.. Panas api ni tak sehebat panasnya api neraka. Betul tak, ibu.."

Tiba-tiba terlihat satu susuk badan yang sasa merempuh pintu rumahnya. Saiful terus diangkat keluar dari rumah tersebut. Terdengar ramai menjerit melihat kebakaran. Tika itu, Saiful sudah tidak ingat apa-apa lagi. Segalanya menjadi hitam.

***

"Bila aku bangun, aku ingatkan aku dah mati. Tapi aku nampak kau pula, Aina. Kau pula yang rajin jenguk aku bila aku dah takde sesiapa lagi."

Saiful ketawa kecil. Ya. Aina teringat lagi. Sebelum ibunya kembali ke rahmatullah, ibunya menjadi penjaga di rumah anak-anak yatim. Dia selalu lihat Saiful keseorangan di rumah itu, tidak mahu bergaul dengan sesiapa. Aina pula yang mesra alam.

"Kau macam adik aku. Korang pun hampir sebaya. Memang aku terasa adik aku macam dah hidup balik tapi realitinya, dia dah takde.."

Kakinya melangkah ke arah Aina yang hampir sahaja menangis ketakutan. Namun, mata Saiful kuyu seperti seorang yang tidak bersalah. Di kala itu, Aina berdoa berkali-kali mengharapkan semua ini hanyalah satu mimpi.

"Aku buat semua ni sebab nak selamatkan wanita-wanita kat dunia ni. Koranglah permata di syurga nanti. Korang bangga dengan kecantikan tubuh badan korang kat dunia sampai sanggup tunjukkan semuanya kat lelaki macam aku ni. Aku tak nak dorang jadi ahli neraka. Jadi, aku terpaksa hancurkan semua perhiasan tu supaya diorang malu nak tunjukkan lagi."

Saiful kembali semula ke arah gadis berambut ikal mayang itu. Melihat keadaannya, Aina boleh menganggak yang dia sudah diberi dadah ke dalam badannya. Rambut gadis itu dipegang kuat. Dipotong rambut itu dengan kasar. Gadis itu pula tidak melawan.

Hingga akhirnya, kepala gadis itu sudah botak dengan luka-luka di kepalanya. Tiada lagi rambut ikal mayang. Saiful memandang wajah Aina yang sudah pucat lesu.

"Rambut wanita itu perlu ditutup dari pandangan lelaki. Kau dan Fazira faham semua tu dan korang menutupnya dengan jilbab. Aku hormat korang."

Kali ini, Saiful mengambil tangan gadis itu. Tanpa amaran, disiat-siat tangan hingga ke siku. Aina benar-benar terkejut. Secara tiba-tiba dia menjerit bagaikan orang gila ! Dia muntah, terlalu ngilu melihat kejadian di hadapan matanya sendiri. Air mata terus mencurah-curah dari matanya.

"Tangan wanita sentiasa menjadi perhatian lelaki untuk disentuh. Kau dan Fazira faham semua tu jadi korang memakai baju berlengan panjang untuk menutupnya. Aku hormat korang."

Fazira juga turut menangis. Ditutup matanya erat. Sudah tidak mampu melihat kejadian semua itu. Aina pula sudah tampak lemah. Berkali-kali dia beristighfar. Saiful mengambil pula tali pinggangnya. Dipandang wajah gadis itu tanpa belas ihsan. Akhirnya, dilibas-libas badan gadis itu sehingga cedera parah.

Aina memandang sahaja, tidak mampu berbuat apa-apa. Dia terasa hendak bunuh sahaja Saiful atas tindakan kejamnya. Namun terasa ada belas ihsan kepada Saiful. Dia teringatkan wajah Saiful yang tidak bersalah tatkala mereka masih remaja. Aina tunduk membisu.

"Badan patut ditutup supaya tidak menjadi makanan rakusan lelaki. Kau dan Fazira faham semua itu jadi korang menutup seluruh anggota badan korang dan melonggarkan pakaian korang. Aku hormat korang."

Terus Saiful melibas lagi tali pinggangnya terhadap gadis itu manakala gadis tersebut meraung kesakitan. Aina cuba melepaskan diri. Begitu juga Fazira. Namun ikatan itu terlalu kuat.

"Berhenti Saiful... Demi arwah Baizura, berhenti!!!"

Tika itu, Saiful terpaku seketika lalu memandang wajah Aina yang sudah kekeringan air mata.

( Insya-Allah, akan bersambung. Terima kasih sebab sudi baca. Wassalam. )

Saturday, October 8, 2011

Karma ( Part 9 )

~Assalamualaikum wbt~


( Sambungan daripada Part 8 )

Badan Aina menggigil secara tiba-tiba. Anak matanya beralih ke arah suara tadi. Bibirnya juga semakin kering. Air mata sudah mengalir membasahi pipinya. Jantung berdegup kencang malah seribu kali lebih laju kencangnya.

"Ke... ke.. napa?"

"Memang patut diorang terima nasib macam ni. Keseronokan... Membutakan mata manusia."

"Tapi kenapa Huda?? Huda tu sepupu aku! Sepupu aku, SAIFUL !!"

Saiful ketawa berdekah-dekah. Dia berdiri sambil memegang pisau di tangannya. Aina cuba berdiri namun badannya telah diikat pada kerusi. Saiful mendekati gadis yang berambut ikal mayang tadi. Terlihat Fazira masih lagi menangis teresak-esak.

"Kenapa libatkan Fazira? Kau patut tak bawa aku ke sini. Aku boleh bawa kau ke polis !"

"Fazira tau kau nak settlekan kes ni jadi aku tak boleh biarkan dia lepas."

Aina memandang wajah Fazira. Masih lagi menangis gadis sunti itu. Aina terasa benar-benar bersalah. Dia yang melibatkan Fazira. Melibatkan Fazira dalam semua ini. Sepatutnya, dia biarkan sahaja pihak polis menyelesaikan kes ini.

"Kenapa Saiful? Kenapa kau buat macam ni? Kau bukan jahat, kau baik !"

"Kau nak tau kenapa? Okay.. Aku cerita kisah aku 10 tahun dahulu.."

***

Tika itu, umurnya masih lima belas. Adiknya pula masih kecil, umur sekitar sepuluh tahun. Saiful benar-benar sayang akan adiknya, Baizura. Dia sanggup buat apa sahaja demi adiknya yang tercinta.

Namun, semenjak dilahirkan tidak pernah dia kenal akan bapa kandungnya. Tidak pernah ibunya beritahu. Memang tidak mustahil. Ibunya mencari duit dengan menjual badannya kepada lelaki jantan yang tidak bermoral.

"Ibu.. Tolonglah berhenti ibu. Kita memang takde duit tapi kalau cari duit macam ni, duit tu jadi haram. Saiful sayang ibu. Saiful tak nak ibu masuk neraka."

Puas Saiful memujuk ibunya yang tercinta. Hingga dia menangis meminta ibunya itu berhenti daripada melakukan perkara berdosa itu. Namun kata-kata Saiful hanya bagaikan mencurah air ke daun keladi. Ibunya langsung tidak mendengar malah memarahinya.

"Dengar sini, Saiful! Ibu dah takde cara lain lagi nak cari duit untuk kita semua. Ikutkan Ibu, Ibu rasa nak buang je kamu dengan Baizura. Nasib baik Ibu ni ada hati lagi tau! Kalau nak sangat Ibu berhenti, tunggu sampai Tuhan hancurkan badan Ibu ni dulu!"

Semakin sebaklah hati Saiful mendengar kata-kata ibunya. Namun cuba disembunyikan. Setiap kali ke sekolah, dia pasti menangis. Menangis setelah mempelajari pendidikan Islam. Tidak sanggup melihat ibunya itu dicampak ke alam neraka. Hina manapun ibu di mata manusia lain, dia tetap ibunya.

Suatu hari, dia pulang ke rumah. Terkejut melihat adiknya, Baizura menangis teresak-esak di bilik dalam keadaan separuh telanjang. Saiful cuba menenangkan adiknya namun semakin kuat pula Baizura menangis.

"Kau jangan nak manjakan adik kau tu sangat. Kalau Ibu sorang je kerja, tak terdaya nak tampung kamu."

Saat itu, Saiful sudah faham akan kata-kata ibunya. Dia juga turut menangis sambil menutup badan Baizura dengan kain selimut. Saiful memeluk erat badan Baizura yang masih tidak berhenti menangis. Mata Saiful memandang wajah ibunya. Ibunya terus berpaling tanpa rasa kasihan sedikit pun buat anak-anaknya.

Baizura terus dijadikan makanan rakusan manusia yang berhati binatang. Saiful cuba menghentikan segalanya namun, setiap kali pelanggan tiba, ibunya akan menguncikan Saiful di biliknya. Sebaik sahaja dilepaskan, terus Saiful mencari adiknya yang menangis.

"Sakit, abang.. Sakit.."

"Gigit tangan abang."

Saiful menghulurkan tangannya, biar adiknya melepaskan rasa kesakitan pada gigitan. Sungguh Saiful terasa benar akan kesakitan itu namun dia sudah buntu, tidak tahu apa yang perlu dibuat. Setiap malam pasti diusap kepala adiknya di bilik kurungan. Pernah mereka cuba melarikan diri namun ibunya akhirnya bertindak untuk mengurung mereka berdua.

"Baizura sayang abang.."

"Abang pun sayang Baizura.."

Tiada hujan, tiada ribut. Sungguh terkejut Saiful apabila terlihat Baizura mati tergantung di hadapan matanya. BAIZURA TELAH BUNUH DIRI ! Saiful meraung tidak ingat dunia. Dipeluk jasad adiknya yang tercinta. Hati mana tidak hancur melihat adik sendiri mati di depan mata.

Semenjak itu, hati Saiful sudah kosong. Terasa lemah benar semangatnya. Ibunya berpura-pura konon bersedih hati akan kehilangan Baizura, bagi meminta simpati daripada jiran sekampung. Pasti jiran-jiran akan memberinya sedikit wang.

"Baizura... Kenapa bunuh diri? Nanti kita tak jumpa kat syurga... Syurga.. Syurga.. "

Saiful bermonolog sendiri. Matanya terpandang sesuatu di atas meja dapur. Dia bangkit mendekati objek tajam tersebut. Sebilah pisau yang tampak baru sahaja diasah. Saiful membelek-belek pisau tersebut.

"Syurga... Syurga..."

( Insya-Allah, akan bersambung. Terima kasih sebab sudi baca. Wassalam. )

Karma ( Part 8 )

~Assalamualaikum wbt~


( Sambungan daripada Part 7 )

"Apa kau buat kat sini ?"

"Sorry aku lambat. Aku ada hal tadi. Ternampak kereta kau kat luar, jadi aku terus cari kau kat sini."

"For your information, aku buat semua kerja sendiri je tau. Kau duduk relax je dengan hal kau."

"Kau bertuah hari ni. Masa kau tengah sibuk petang tadi, aku terjumpa something lagi best."

Aina terkejut. Belum sempat Aina hendak bertanya dengan lebih lanjut, Saiful menunjukkan isyarat untuk berbual di luar sahaja. Mungkin kerana bingit sangat suasana di situ. Aina menurut, sekali lagi cuba menjaga hijab antara lelaki dengan perempuan.

"I've found the criminal's hideout."

"Tell me you're joking."

"Ni bukan masa nak melawak. Jom! Aku bawa kau ke tempat tu."

Terus Saiful masuk ke dalam kereta. Aina juga begitu tetapi ke dalam keretanya sendiri. Tanpa berlengah lagi, Aina mengikut kereta Saiful dari belakang. Dipandu kereta itu berhati-hati pada malam yang sudah gelap gelita ini.

Beberapa minit kemudian, tibanya mereka berdua di sebuah rumah lama. Tampak sudah usang rumah tersebut. Pasti sudah lama ditinggalkan. Aina keluar dari kereta, memandang rumah tersebut dengan hati berdebar-debar. Terus dia melangkah ke arah rumah itu namun dihalang oleh Saiful.

"Bahaya.."

"Kalau bahaya, kenapa kau panggil aku ke sini?"

"At least, kalau aku lambat keluar, kau ada jadi backup aku. Kau boleh panggilkan polis."

Aina mengerti. Tiba-tiba Saiful mengeluarkan sepucuk pistol dari poketnya. Terkejut Aina dibuatnya.

"Mana kau dapat pistol?"

"Urm.. Fazira yang kasi. Ni pun dia ambil dari ayah dia. Dia minta aku lindungi kau."

Fazira? Masih risau Fazira akan keselamatan Aina. Tika itu, mata Aina mengecil. Sejak kecil lagi mereka berdua bersama-sama. Ayah mereka berdua bekerja di tempat sama, dengan itu semakin rapatlah Aina dengan Fazira.

Saiful memandang wajah Aina. Aina membalas pandangan Saiful lalu mengangguk. Saiful menarik nafas seketika lalu masuk ke dalam rumah usang tersebut. Hati Aina menjadi tidak keruan. Risau pula akan keselamatan Saiful.

Dengan bacaan Basmallah, Aina masuk secara senyap-senyap. Aina cuba merangkak sambil matanya melilau ke sana ke mari. Gelap sahaja rumah tersebut. Sunyi seperti tidak ada satu jasad di dalam rumah itu.

Tiba-tiba terasa kepala Aina diketuk dengan kuat. Aina pegang erat kepalanya lalu dia jatuh terlentang. Hitam. Gelap.

***

"Urgh.... Auuww..."

Aina mengeluh kesakitan. Semuanya masih kabur. Ternampak seperti ada cahaya di sebelah kanannya. Lilin.. Apa dah jadi? Aina tidak ingat apa-apa.

"Aina, kau tak apa-apa?"

Mata Aina melilau ke kiri. Saiful? Dia duduk memandang wajah Aina dengan air muka penuh kerisauan.

"Apa dah jadi ni, Saiful ?"

Aina cuba membeliakkan matanya. Terlihat seperti ada dua manusia di hadapannya. Seorang gadis berambut ikal mayang seperti sedang khayal dengan dunianya. Dipandang pula seorang lagi manusia di sebelah gadis berambut ikal mayang itu. Saat itu, Aina benar-benar terkejut apa yang dipandangnya?

"Fazira? Kau? Kenapa?"

Terlihat Fazira menangis dengan kain yang diikat pada mulutnya. Aina sudah menggigil. Adakah penjenayah itu sudah berjaya menangkap mereka semua? Aina juga hendak menangis.

"Jangan risau.. Aku akan bawa kamu semua ke syurga."

( Insya-Allah, akan bersambung. Terima kasih sebab sudi baca. Wassalam. )

Friday, October 7, 2011

Karma ( Part 7 )

~Assalamualaikum wbt~


( Sambungan daripada Part 6 )

Sujud yang terakhir, lama masa yang diambil. Dia bangkit untuk tahiyyat akhir. Diberi salam dan tangannya ditadah untuk berdoa. Tanpa sedar, air matanya mengalir, membasahi pipi. Sebentar lagi.. Sebentar sahaja lagi.

Aina memandang sekeliling. Hanya beberapa sahaja manusia di dalam masjid. Dan dia satu-satunya gadis muda yang solat di situ. Yang lain kesemuanya sudah tampak dewasa. Di mana hilangnya anak-anak muda? Sibuk dengan dunia? Sibuk dengan keseronokan? Entah. Aina sendiri tidak pasti.

Telekung dilipat rapi dan dimasukkan ke dalam beg. Kepalanya ditutup pula dengan tudung. Dipandang lama cermin di hadapannya. Ini saatnya. Aina menarik nafas panjang. Tiada masa untuknya memandang belakang lagi. Dia sudah pergi sejauh ini. Dia perlu meneruskan perjalanannya.

***

Aina keluar dari keretanya. HEAVEN. Itu yang tertera pada pintu bangunan itu. Kakinya terasa berat ingin melangkah. Dengan bacaan Basmallah, Aina cuba masuk ke dalam namun ada seorang lelaki bertubuh sasa menghalang perjalanannya.

Aina mengetap bibirnya memikirkan sesuatu. Setelah berfikir panjang, Aina mengeluarkan not RM100 dan cuba dianggapnya darurat. 'Ya Allah Ya Tuhanku. Aku melakukan semua ini untuk menyelamatkan mereka yang tidak berdosa. Ampunilah dosaku ini.' desis hati Aina. Lelaki bertubuh sasa itu mengambil duit tersebut lalu membenarkan Aina masuk.

Masuk sahaja, lagu berdengung kuat di telinga Aina. Terasa hendak pekak sahaja telinga Aina. Terus ditutup kedua-dua telinga. Dipandang pula sekeliling. Banyak gadis menari-nari di situ. Tanpa segan silu, membiarkan tubuh mereka diramas oleh lelaki-lelaki yang kelaparan.

Matanya melirik ke tempat lain. Ternampak pula mereka yang sedang minum air kencing syaitan dengan lagaknya. Ada juga tanpa segan silu sedang bercumbu-cumbuan. Saat itu, Aina terasa hendak menangis dan melarikan diri dari tempat itu.

'Ya Allah, lindungilah aku sebagaimana Engkau melindungi hamba-Mu yang lain. Teguhkanlah imanku.' Aina beberapa kali berdoa. Sungguh dia benar-benar takut akan situasi ini. Dicuba tidak tersentuh dengan lelaki. Kakinya melangkah ke arah bar.

"Minum apa, cik adik?"

Lelaki yang bekerja di meja bar itu mendekatinya. Aina takut-takut namun dia cuba menghilangkan rasa gelisahnya.

"Coke please.."

"You're sure? Tak nak kuat lagi?"

Aina menggeleng kepalanya. Lelaki itu meninggalkan Aina bersendirian. Aina memandang sekeliling, mencari-cari sesuatu. Dia tidak pasti apa yang dicari namun dia cuba memberanikan dirinya. Lelaki tadi menghulurkan gelas yang berisi air Coke di dalamnya.

"Ni memang coke kan?"

"Don't worry dear.. Apa yang customer minta, tu yang saya sediakan."

Aina hanya tersenyum namun tidak dihirup air Coke tersebut. Matanya terpandang kepada dua pasangan di sebelah. Mereka sedang berbual dengan mesranya lalu bercumbu-cumbuan dengan rakusnya. Aina terkejut lalu melarikan anak matanya. Dia beristighfar banyak-banyak. Akhirnya, dia berpaling dan tiba-tiba terasa dirinya terlanggar terhadap sesuatu yang bersaiz besar.

"Ouch !"

"Are you okey, miss ?"

Tangannya diurut seketika sebelum dia bangkit dari tempat dia terjatuh. Sebaik sahaja dia berdiri, Aina memandang orang yang dilanggarnya tadi. Mata Aina terbeliak seluas-luasnya. Lidahnya tiba-tiba terasa kelu.

"SAIFUL?"

( Insya-Allah, akan bersambung. Terima kasih sebab sudi baca. Wassalam )