Sunday, August 21, 2011

Cinta Dari Ilahi (Part 5)

~Assalamualaikum wbt~
~Sambungan daripada Part 4...

"Ma.. Maksud.. awak?"

Zaki mulai tergagap. Hatinya benar-benar luluh. Sungguh cintanya belum terkikis lagi daripada Suhaila. Adakah selama ini Suhaila telah curang kepadanya? Mempermainkan hatinya?

"Zaki, jangan salah faham. Sebenarnya, sebulan lepas ada orang datang meminang. Parents saya tak kasi saya tolak dulu. Jadi, lepas kejadian hari tu..."

Tika itu, Zaki mulai faham. Namun, terasa sukar benar untuk menerima hakikat tersebut. Baru sahaja seminggu. Kini, Suhaila sudahpun menjadi tunangan orang. Umur mereka berdua pun sudah mencecah lebih 30 tahun.

"Saya restu hubungan awak dengan tunang awak tu. Tahniah."

Zaki mengucapkan kata-kata itu dengan ikhlas. Sukar namun perlu. Inilah kebenaran dunia.

"Saya rasa dialah jodoh awak yang terbaik. Semoga awak bahagia sentiasa."

"Zaki.. Saya cuma nak cakap satu je.."

Terdengar esakan kecil dari talian saya. Zaki cuba menahan. Menahan daripada menonjolkan kesedihannya. Namun, dalam masa sama, dia gembira buat Suhaila.

"Carilah pengganti saya dan hiduplah bahagia."

Zaki terdiam. Dia cuba berfikir sejenak. Menenangkan fikirannya.

"Baiklah.. Semoga kita mencapai kebahagian yang dijanjikan tu, Insya-Allah."

***

Sudah hampir 5bulan lamanya. Zaki semakin hari semakin matang. Imannya bertambah kental. Cinta kepada Ilahi melebihi segalanya. Hati Mama Papa sering dijaga. Namun hanya Allah swt yang mengetahui keikhlasan hatinya.

Suatu hari, Allah swt menguji keimannya. Papa terjatuh dari tangga dan kakinya patah. Mama tidak mampu untuk menjaga Papa kerana faktor usia. Zulaikha pula jauh di Sarawak. Hanya Zaki menjadi harapan.

Ke mana sahaja Papa pergi, Zaki ikut. Apa sahaja permintaan Papa, Zaki akur. Bukan mudah untuk menjaga Papa. Namun, bila dikenang semula, Papa menjaganya sejak dia lahir lagi. Bertahun-tahun lamanya Papa menjaganya tanpa sebarang aduan. Zaki sedar akan statusnya dan dia terus menjaga Papa dengan seikhlas hatinya.

"Kamu ada contact lagi dengan Suhaila?"

Tiba-tiba Papa bertanyakan soalan tersebut. Zaki terdiam. Ditarik nafas sedalam-dalamnya.

"Dah lama putus contact pun, Papa. Dia pun dah jadi isteri orang."

Jawapan itu tiada nada sedih. Sejujurnya, Zaki benar-benar gembira buat Suhaila. Suami Suhaila juga seorang yang baik. Malah jauh lebih baik daripada dirinya. Sungguh dia tidak menyalahi Papa Mama kerana tidak merestui hubungan mereka berdua. Suhaila kini bahagia. Dia juga bahagia buatnya.

"Petang ni, Papa ingat nak pergi rumah sorang kenalan Papa tapi jauh sangat. Dekat Johor. Zaki boleh tolong hantarkan Papa?"

Papa tukar topik pula. Zaki hanya mengangguk, akur pada permintaan Papanya itu.

***

"Rumah siapa ni, Papa? Tak pernah datang pun sini."

"Oh.. Ni rumah Pak Hadi. Dia dulu jaga Papa masa kecil-kecil. Papa pernah bawa kamu ke sini dulu tapi masa kamu kecil. Kadang-kadang Papa datang ziarah. Tapi tiba-tiba terbuka hati nak datang ke sini."

Zaki hanya sekadar mengangguk. Rumah itu tidaklah besar mana. Sekadar rumah teres. Kecil sahaja halaman rumah itu. Namun, dia tidak suka memperlekehkan sesiapa. Rumah kecil ke, rumah besar ke, semua status manusia itu sama.

Kerusi roda Papa ditolak ke arah pintu pagar tersebut. Butang loceng ditekan. Zaki hanya menunggu akan seseorang untuk membuka pintu rumah tersebut. Setengah minit menunggu, sesusuk tubuh badan yang kecil keluar dari rumah itu. Dia mengukir senyuman.

"Assalamualaikum, Uncle. Marilah masuk."

"Waalaikumussalam. Atuk kamu ada kat rumah ke?"

"Ada. Saudara mara yang lain pun ada sekali."

Zaki menggunakan kudratnya untuk menolak kerusi roda Papa ke dalam rumah. Dipimpin Papa pula untuk duduk di atas sofa. Terlihat seorang lelaki tua dalam lingkungan umur 70-an keluar dari bilik. Papa dan lelaki itu bersalaman. Beberapa orang di dalam rumah itu menyalam Papa dan Zaki. Tampak mereka mesra orangnya.

"Kamu ni Lan. Lama betul tak datang sini. Apa khabar kamu sekarang?"

"Baik-baik je, Alhamdulillah. Ramai saudara mara datang. Ada kenduri ke?"

"Ada ler sikit. Untuk si Rabiatul. Dia dah tak mengajar kat sini. Kena pindah kat KL pula. Jadi nak buat kenduri doa selamat."

"Syukur, Alhamdulillah. Rabiatul tu dah besar dah. Terkejut betul saya bila hari tu terserempak dengan dia kat KL."

"Haha! Anak kamu tu pun dah nampak besar. Kali terakhir jumpa dia pun masa tu kecil lagi."

Zaki hanya tersengih-sengih pabila Pak Hadi memandang wajahnya. Segan-segan silu juga ada. Tiba-tiba seorang wanita yang sudah berusia mendekati Zaki. Zaki hanya tersenyum. Mungkin anak Pak Hadi.

"Kamu ni dah berpunya ke belum, nak? Muka handsome macam ni, takkan lah membujang lagi?"

"Setakat ni, saya single je Makcik." Zaki masih lagi tersengih-sengih.

"Bagus ler macam tu. Si Rabiatul tu pun single. Lan, apa kata kita jodohkan anak-anak kita, nak?"

"Saya setuju je, Kak!"

Mereka mulai ketawa. Zaki pula sudah segan silu apabila diusik sebegitu. Tampak bahagia sahaja keluarga di rumah ini.

"Oh, diam-diam Ibu usik pasal Rabiatul ek."

Terlihat Rabiatul sedang menatang dulang ke arah Papa Zaki. Cawan berisi teh dihulurkan kepadanya. Setelah itu, dihulurkan pula kepada Zaki. Saat itu mereka berbalas senyuman.

"Hep! Jangan nak menggatal kat situ ek.. Haha!"

Kakak Rabiatul pula mengusik. Mereka berdua mula tersipu-sipu malu. Melihat keluarga itu, dia terasa bahagia. Rumah yang sentiasa ceria. Rabiatul tidak seperti Suhaila. Suhaila seorang yang sentiasa lemah lembut dan mejaga tata tertib. Rabiatul pula tampak mesra. Sangat FRIENDLY!

Papa memandang wajah Zaki lama sambil mengukir senyuman. Hatinya senang. Melihat Zaki lama merenung wajah Rabiatul yang melayan usikan keluarganya.

(Insya-Allah, bersambung. Terima kasih sebab sudi baca. Wassalam~)

Saturday, August 20, 2011

Cinta Dari Ilahi (Part 4)

~Assalamualaikum wbt~
Sambungan daripada Part 3...

"Mama, Zaki bukan nak langgar arahan Mama. Tapi Mama dengarlah dulu. Sekejap je."

Sesusuk tubuh badan yang tinggi juga keluar dari pintu rumah itu. Papa dan Mama kini berada di depannya. Zaki dan Suhaila tidak berani untuk melangkah masuk melalui pintu pagar rumah tersebut. Jantung masing-masing berdegup laju.

"Masuklah dulu."

Suara Mama lembut tetapi masih wujud kedinginan. Zaki dan Suhaila menarik nafas sedalam-dalamnya dan melepaskannya perlahan-lahan. Kaki kanan melangkah dahulu sambil zikir terus membasahi bibir masing-masing.

***

"Mama, Papa. Zaki mungkin salah tapi mungkin Zaki juga benar. Zaki dan Suhaila nak minta maaf kalau ada lukakan hati Mama Papa."

"Suhaila tak dapat nak janji yang Suhaila dapat jadi isteri yang sempurna kepada Zaki tapi Insya-Allah, saya sedaya upaya untuk jadi seorang isteri yang baik buat Zaki."

"Mama, Papa. Ni kali terakhir Zaki akan tanya benda ni. Zaki dan Suhaila redha dengan apa-apa jawapan Mama Papa."

Dan saat itu, Zaki memejam matanya erat.

"Mama Papa. Boleh Zaki ambil Suhaila sebagai isteri Zaki?"

Mereka berdua berpandangan. Cuba mencari jawapan. Wajah Mama tidak tampak dingin namun dia bangkit. Mendekati Suhaila. Tika itu, Suhaila gusar. Gusar akan berlaku perkara yang tidak baik. Namun...

Mama Zaki memeluknya erat. Terlalu erat seolah-olah memberikan satu semangat dan ketenangan buatnya. Pelukan dilepaskan. Tampak senyuman terukir di bibir Mama Zaki. Zaki masih tertanya-tanya. Apa maksud di sebalik pelukan tadi?

"Aunty minta maaf. Aunty masih tak dapat terima."

Lemah! Terasa degupan jantung terhenti sesaat. Mata Zaki terbeliak. Air mata mula bergelinangan pada mata Suhaila. Masing-masing terdiam. Namun, Suhaila masih sempat mengukir senyuman.

"Takpe, Aunty. Saya redha."

***

Zaki masih mengurung dirinya dalam bilik. Tiada apa yang mampu diungkap. Masih terkejut. Adakah selama ini dia silap? Benar. Dia redha. Namun, mampukah dia mengikis cintanya buat Suhaila? Sepuluh tahun bukan sebentar.

Handphonenya terus dicapai. Dicari nama Maksu yang disayanginya. Perlu segera diceritakan perasaan hatinya tika itu. Dia perlu.

"Assalamualaikum, Maksu."

"Waalaikumussalam. Haa, Zaki. Ada apa telefon ni?"

Sunyi. Hatinya mulai sebak. Dia cuba menahan. Namun, air matanya mulai mengalir. Maksu mula memahami akan situasi tersebut.

"Zaki, bersabarlah. Maksu faham. Berserahlah kepada Allah. Sesungguhnya Dia yang lebih mengetahui apa yang hak dan batil."

"Tapi Maksu. Saya tak faham. Saya dah buat solat Istikharah beberapa kali."

"Kamu ada mimpi ke?"

"Ada. Saya nampak Suhaila pakai baju biru tengah pandang saya."

"Biru? Bukan dia tak suka baju biru ke?"

Zaki terdiam. Benar. Suhaila tidak suka warna biru. Adakah selama ini dia benar-benar tersilap menafsir mimpinya?

***

Solat Asar ditunaikan dengan kusyuk. Ayat suci Al-Quran juga dibaca dengan lancar. Hati mulai tenang selepas kejadian minggu lepas. Dia tidak mahu menyalahkan takdir. Dia tidak mahu menyalahkan Mama dan Papa. Dan lebih-lebih lagi, dia tidak mahu menyalahkan Allah.

Zaki sedar kini kemungkinan besar, Suhaila benar-benar bukan miliknya. Namun, tiada khabar daripada Suhaila sejak itu. Dia tidak mahu mengganggu gadis itu. Biarkan dia tenang buat seketika.

Tiba-tiba handphone Zaki mulai menyanyi lagu 'Tanpa'. Segera Zaki mendapatkan handphonenya di atas meja kerjanya. SUHAILA! Mungkin dia sudah reda.

"Assalamualaikum, Suhaila."

"Waalaikumussalam."

"Urm.. Awak baik?"

"Baik, Alhamdulillah."

Masing-masing terdiam. Tidak tahu apa lagi yang harus diomong. Zaki juga buntu. Tidak tahu apa yang perlu diungkapkan. Namun, belum sempat dia bersuara, terdengar suara lunak itu.

"Zaki, saya ada benda penting nak bagitau dekat awak."

"Okey. Kenapa ni?"

Suhaila terdiam seketika. Dia seakan sukar benar untuk menyuarakannya. Namun, kalau bukan kini, bila?? Zaki berdebar-debar. Menantikan suara lunak itu bersuara kembali.

"Zaki... Sebenarnya..."

Sekali lagi terdiam. Zaki sudah tidak mampu bersabar. Apa?? Apa yang sebenarnya??

"Saya dah bertunang."

Terasa sebilah pisau tertusuk pada hati Zaki yang terlalu parah kondisinya.

(Insya-Allah, bakal bersambung. Terima kasih sebab sudi baca. Wassalam~)

Friday, August 19, 2011

Cinta Dari Ilahi (Part 3)

~Assalamualaikum wbt~
~Sambungan daripada Part 2...

Tiada yang mampu meredakan aliran air mata Suhaila tika itu. Zaki masih membatu, terkelu lidahnya bagaikan sudah dibius. Hanya Maksu tampak tenang namun matanya kuyu. Kesal dengan sikap kakaknya.

Baru beberapa hari lepas, Zaki telah membawa Suhaila ke rumah. Mana tahu jika hati Mama dan Papanya lembut melihat keikhlasan wajah Suhaila. Namun, tanpa disangka-sangka..

"Kau jangan berani nak pijak pintu rumah aku nie! Berambus!"

Zaki kesal. Dia sudah melukai hati Suhaila dengan jawapan Mama. Kini, hati Suhaila terguris lagi dengan pulauan Mama. Itu yang menimbulkan kemusykilan hati Maksu. Kenapa Mama Zaki begitu benci akan Suhaila? Mungkinkah disebabkan perbezaan darjat?

Dahulu, kakak Zaki, Zulaikha ingin berkahwin dengan seorang lelaki pilihan hatinya namun tidak dipersetujui oleh Mama Papa. Namun, Zulaikha tetap berdegil dan masih meneruskan hasrat hatinya. Mama Zaki akhirnya akur. Lain pula dengan Zaki.

"Suhaila, saya minta maaf. Mama mungkin stres."
"Zaki..."

Suhaila mengesat air matanya yang masih mengalir. Maksu dan Zaki memandang wajah Suhaila. Maksu mulai sebak melihat keadaan Suhaila. Sejak dari tadi, dia hanya menangis. Namun, entah kenapa Suhaila masih boleh tersenyum.

"Saya redha Zaki kalau kita memang takde jodoh."

Zaki membeliakkan anak biji matanya. Mulutnya ternganga sedikit. Itulah satu-satunya perkataan yang paling dia benci untuk didengari daripada suara Suhaila. Namun, dia cuba bertenang. Tidak mahu emosinya mengawal minda.

"Saya dah buat solat istikharah. Saya betul-betul yakin, awaklah orangnya."

"Zaki.. Sabar.."

Tika itu, Maksu mula bersuara. Wajah tenangnya meredakan sedikit sebak hati Suhaila. Zaki menarik nafas sedalam-dalamnya sambil beristighfar.

"Macam ni lah. Maksu tak dapat nak tolong kamu tapi kamu yang kena tolong diri kamu sendiri. Selama tiga bulan, kamu amalkan solat sunat hajat, tahajjud dan taubat nasuha setiap malam. Jangan tinggalkan sehari pun dan mesti buat berturut-turut. Lepas tiga bulan tu, kamu bagitaulah hajat kamu balik. Kalau Mama Papa terima, dialah jodoh kamu. Kalau tak, kamu kenalah terima seadanya."

***

KRIIIIIINNNNGGGGGGG!!!!!

Dalam keadaan mengantuk, Zaki mengeliat. Sudah pukul 3pagi. Badannya berat ke bilik air lalu terus diambilnya air wudhuk. Ah! Segar! Ditunaikan solat sunat hajat, tahajjud dan taubat nasuha. Di kala itu, dia terasa begitu tenang. Terasa dia begitu dekat kepada Ilahi. Di saat itu, Zaki mulai membaca ayat suci Al-Quran.

Khusyuknya hanya Allah sahaja yang mengetahui. Tanpa disangka-sangka, air matanya mengalir membasahi pipi. Benar. Dia mengerti setiap bait ayat yang dibacanya. Dan entah kenapa Zaki benar-benar menghayati ayat suci Al-Quran tika malam itu. Sungguh benar bahawa tika satu pertiga malam, diri ini akan dekat pada Allah.

Allahuakbar! Allahuakbar!

Zaki memandang jam dinding. Sudah tibanya waktu Subuh. Di saat sujudnya yang terakhir, dia terasa ada sesuatu. Sesuatu yang tidak pernah dirasakan. Jantungnya berdegup laju malah dirasakan ada satu bau yang wangi. Sepantas kilat, Zaki menghabiskan solatnya dan dia memandang sekeliling. Tiada sesiapa kecuali dirinya.

***

"Assalamualaikum. Awak, buat tak apa yang Maksu suruh?"

"Waalaikumussalam.. Eh? Mestilah buat. Takkan nak skip." Suhaila menjawab.

Masih lagi Zaki teringat akan kejadian pagi tadi. Kejadian aneh. Bukan. Kejadian yang ajaib. Adakah ini hanyalah mainan fikirannya sahaja? Atau sebenarnya benda lain?

"Awak.. Kenapa diam je ni?"

"Eh.. Sorry. Termenung pula. Suhaila, pagi tadi awak ada rasa apa-apa benda pelik tak?"

"Rasanya takde pun. Kenapa?"

"Takde. Pagi tadi, saya terasa ada orang macam pegang bahu saya tapi bila saya toleh, takde siapa pun kat belakang."

"Haa! Serius ke? Takkan..."

"Hahahaha! Awak ni. Senang betul nak kenakan awak.."

Dan Suhaila mula berleter panjang. Zaki hanya mampu tertawa kecil namun hatinya tertanya-tanya. Apakah perasaan yang aneh itu? Aneh tapi menyenangkan.

***

"Tak sangka pula kita jumpa kat sini. Atuk kamu macam mana? Sihat? Kamu buat apa datang ke KL ni?"

"Sihat, Alhamdulillah. Ada hal sikit pasal kerja. Jadi, terpaksa datang ke sini."

"Oh yeke? Lama betul tak jumpa atuk kamu tu ek.. Takpelah. Kirim salam kat dia. Saya kena pergi dulu. Ada client kena jumpa. Kalau ada masa, singgah ler ke rumah ek. Jangan malu-malu."

Dan orang itu hanya mengangguk kecil. Sungguh dia tidak sangka bertemu lelaki itu setelah bertahun-tahun lamanya.

***

Tiga bulan. Terasa singkat pula masa itu. Namun, Zaki bersedia. Begitu juga Suhaila. Namun, melihat akan rumah itu, Suhaila mula cuba melangkah pergi. Zaki sempat menghalang jalannya. Teringat lagi peristiwa itu. Tika Mama Zaki menghalaunya. Dia benar-benar takut.

"Awak.. Saya ada kat sisi awak. Jangan takut okey. Kalau Mama Papa terima, Alhamdulillah. Tapi kalau tak.."

Zaki terdiam seketika. Terasa sebak untuk menyebut ayat itu. Namun, dia tetap memegang kata-kata Maksunya. Kata-kata yang sering meniti di bibir Maksunya. Di kala itu, dia masih bisa tersenyum. Senyuman paling manis.

"Awak pasti akan jumpa lelaki yang takkan kenakan awak lagi pasal hantu. Hehe.."

"Awak ni, main-mainlah."

Suhaila memuncungkan bibirnya. Zaki hanya mampu ketawa kecil. Untuk kali terakhir, dia berjanji akan melihat ekspresi wajah itu.

"Kalau kita takde jodoh, buang kenangan kita okey."

Sunyi. Zaki menarik nafas sedalam-dalamnya dan tersenyum.

"Sebab saya tak nak awak menangis lagi disebabkan kenangan kita."

Zaki mendekati loceng pintu pagar rumahnya dan menekan butang tersebut. Jantungnya berdebar-debar pabila terlihat susuk tubuh badan itu keluar dari pintu rumahnya. Dan inilah saatnya.

(Insya-Allah, bakal bersambung. Terima kasih sebab membaca. Wassalam~)

Thursday, August 18, 2011

Cinta Dari Ilahi (Part 2)

~Assalamualaikum wbt~
~Sambungan daripada Part 1.

"Astaghfirullah Al Azim! Bawa mengucap awak."

Di kala itu, Zaki terus tersedar daripada kesilapannya. Sungguh kini nafsu hampir berjaya mengawalnya. Syaitan pula pasti ketawa dengan riangnya. Berkali-kali Zaki beristighfar. Sungguh nasibnya baik kerana Suhaila sempat menyedarkannya.

'Sorry.. Saya.. Haih.. Awak, saya ingat nak bawa awak pergi rumah Maksu. Kita pergi Sabtu ni ek."

Suhaila bersetuju dengan cadangan Zaki. Memang Suhaila sudah masak dengan sikap Zaki. Pabila Zaki dalam masalah, pasti dia akan bertemu dengan Maksunya. Sejak kecil lagi Zaki sangat rapat dengan Maksu sehinggakan Suhaila sendiri sudah mengenali Maksu dengan lebih rapat. Namun, mampukah Maksu menyelesaikan masalah mereka berdua?

***

"Makan.. Makan.. Jangan malu-malu tau.."

Sungguh berselera Zaki dan Suhaila menjamah makanan masakan Maksu. Anak-anak maksu juga tumpang sekaki. Paksu pula tiada kerana sibuk mencari rezeki buat keluarganya yang tercinta. Zaki rindu. Rindu akan masakan Mamanya. Sedang Suhaila menyuapkan nasi ke mulutnya, anak bongsu Maksu, Farah hanya termenung melihat wajah Suhaila.

"Kakak ni nanti kahwin dengan Abang Zaki ek?"

Dan tika itu jua, Suhaila terhenti daripada menyuapkan nasi ke mulutnya. Sunyi. Farah memandang sekeliling dengan hairan. Maksu memberi tanda isyarat kepada anak sulongnya, Raihan. Dia yang memahami tanda isyarat tersebut, terus mengajak adik-adiknya ke bilik.

"Kamu berdua serius nak kahwin?"

Kali ini, Maksu tampak lebih serius. Tiada senyuman terukir pada bibirnya. Suhaila hanya mampu tunduk membisu. Zaki termenung jauh pada makanan yang berada di hadapan matanya. Masih sunyi sepi.

"Maksu pun kenal Zaki kan. Zaki bukan jenis yang main-main."

Maksu mengangguk kecil. Tiba-tiba lagu 'Tanpa' nyanyian 6ixth Sense dimainkan. Datangnya daripada handphone Zaki. Mata Zaki terbeliak memandang skrin di handphone. Dari sudut pandangan Maksu, dia boleh mengagak siapa yang menelefon anak saudaranya itu.

Zaki menjawab panggilan dengan memberi salam. Terdengar Zaki merendahkan suaranya, mungkin tidak mahu orang lain mendengar perbualannya. Namun, Zaki secara tiba-tiba menghulurkan handphone kepada Maksu.

"Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam. Pe'ah! Kau jangan masuk campur dalam urusan anak-anak Akak. Akak ni mak dorang jadi Akak tahu macam mana nak jaga anak sendiri!"

Kasar. Sungguh Maksu terasa dengan kata-kata kakaknya tadi. Namun, dia cuba bersabar. Api tak boleh dilawan dengan api.

"Akak. Akak pun tahu kan si Zaki ni. Dia kan rajin datang ke sini."
"Hei. Akak tahulah dia bawa perempuan tu kan? Kau pujuklah Akak macam mana pun. Sampai Akak mati pun, Akak takkan pernah restu hubungan dorang!"

( Insya-Allah, bakal bersambung. Wassalam~)

Wednesday, August 17, 2011

Cinta Dari Ilahi


~Assalamualaikum wbt~
Kini dia tekad. Perlukah diteruskan lagi hubungan ini tanpa mengetahui halal dan haramnya? Sudah terlalu lama dia menunggu. Sepuluh tahun. Kini masing-masing sudah berjaya. Tiada yang perlu dirisaukan lagi. Hanya menantikan sebuah persetujuan.

"Zaki, ada apa awak nak jumpa saya ni?"

Matanya melirik ke arah gadis itu. Terasa sungguh tenang dengan senyuman yang terukir pada bibirnya. Zaki lantas berdiri namun tidak pula dekati ke arah Suhaila. Takut pula datang bisikan orang ketiga.

"Suhaila, jom kahwin."

Terus terbeliak mata Suhaila. Zaki hanya mampu tersengih dengan kelakuan Suhaila yang menggelikan hati itu.

"Awak serius? Tapi mama macam mana?"

Terdiam Zaki. Mama? Bibirnya diketap lama. Adakah mungkin semuanya bakal berjalan lancar sebagaimana yang dirancangkan? Kita hanya sekadar merancang namun Tuhan yang sentiasa menentukan. Sekali lagi, Zaki mengukir senyuman.

"Belum cuba belum tahu kan? Nanti saya slow talk dengan mama okey?"

***

"Tak! Mama langsung tak setuju!!"

Nyaring suara Mama menyatakan pendapatnya. Hati Zaki bagai dihiris dek pisau. Ditambah lagi dengan percikan air limau pada hatinya. Ah! Sungguh pedih sekali. Namun, dicuba meminta rayuan pada Papanya pula.

"Papa pun tak setuju kamu kahwin dengan dia. Papa tak kira."

Kini, harapan Zaki terus hancur berkecai. Papa yang sentiasa menyokongnya kini menjadi pembangkang pula. Zaki terasa tidak puas hati. Apa salahku? Apa salah Suhaila?

"Kenapa Papa Mama tak setuju? Jahat sangat ke Suhaila?"

"Kamu dengar sini, Zaki! Apa pun yang terjadi, Mama tetap tak nak kamu kahwin dengan Suhaila! Kamu faham? Kamu nak jadi anak derhaka ke??"

Terasa ada peluru tertembus pada kepalanya. Anak derhaka? Kenapa? Kenapa Mama sanggup mengatakan demikian? Adakah disebabkan situasi ini, Zaki terus sahaja dicopkan sebagai anak derhaka? Sedangkan selama ini, dia begitu berjasa kepada kedua-dua orang tuanya.

Zaki cuba menahan amarahnya. Kakinya terus melangkah ke arah bilik lalu ditutup pintu serapat-rapatnya. Nafas ditarik sedalam-dalam, cuba mencari ketenangan. Kepalanya ligat berfikir.

Suhaila. Terlalu baik orangnya. Lemah lembut dan kuat agamanya. Rupa? Langsung tidak Zaki pandang. Kebaikan Suhaila sendiri yang menarik hati Zaki. Sudah terlalu lama dia mengenali Suhaila. Mama dan Papa jua. Tapi kenapa mereka tidak menerima? Apa salah Suhaila? Apa yang jelik tentang Suhaila?

Tangannya menyeluk poket seluarnya. Nama Suhaila dicari lalu terus ditekan butang CALL. Beberapa saat, terdengar suara Suhaila yang lunak yang menyentuh hati Zaki setiap hari.

"Suhaila, jom kita kahwin lari."

(Insya-Allah, bakal bersambung. Wassalam~)