Saturday, August 27, 2011

Tika Ramadhan Itu (Part 3)

~Assalamualaikum wbt~
Sambungan daripada Part 2...

Semakin banyak kedai dibuka. Terus kakinya melangkah ke arah salah satunya. Dengan ucapan Bismillah, dia masuk ke dalam. Terlihat seorang tauke cina sedang sibuk menyusun baju-baju di situ. Kebanyakannya baju kurung.

"Morning, Tauke.."

Tauke itu memandangnya. Terus diukirnya senyuman lalu mendekati Luqman.

"Morning. Ya, apa boleh saya tolong? Nak beli baju raya kah?"

"Oh, tak.. Saya nak tanya sini ada kerja kosong tak?"

"Maaf lah. Sini semua penuh. Takda kerja kosong."

Luqman hanya mampu mengucapkan terima kasih dan meninggalkan kedai itu. Nasibnya masih sama untuk kedai-kedai yang lain. Hatinya bercelaru. Kebetulan dia lalu di sebelah kedai jam. Ternyata sudah 4jam dia cuba mencari pekerjaan.

Terlihat bangku di hadapannya, terus dilabuhkan punggung untuk beristirahat. Dalam sepuluh minit berehat, Luqman meneruskan perjalanannya. Dia terus berbaik sangka. Mungkin rezekinya ada tetapi belum masanya lagi. Hanya Allah yang Mengetahui.

Pernah dia dengar cerita tentang dua orang nelayan. Seorang nelayan memulakan pekerjaannya dengan mengucapkan nama Tuhannya, Al-Uzza manakala seorang lagi nelayan memulakan pekerjaan dengan mengucapkan Basmallah. Nelayan yang menyembah Al-Uzza mendapat banyak ikan manakala nelayan yang mengucap nama Allah itu tidak memperoleh satu rezeki pun. Itu kerana Allah telah menjanjikan rezeki yang lebih baik di Akhirat untuk nelayan Muslim itu. Itulah keadilan Allah.

Saat itu, dia merasakan ingin singgah di masjid sebentar. Mungkin itu dapat meredakan keresahan hatinya. Mungkin juga dapat menambah sedikit sebanyak amalannya. Itulah manusia. Tidak pernah lari daripada dosa. Dan perlulah diisi masa dengan pelbagai amalan untuk menghapuskan dosa-dosa itu.

Tiba sahaja di masjid, Luqman terus mengambil wudhuk. Terasa segala dosa gugur dari tubuh badannya. Dicapainya kitab suci Al-Quran lalu dibacanya. Adakalanya air mata gugur dari matanya namun disekanya. Begitu dia bersyukur dirinya dan sekeluarganya bukan di antara mereka yang buta daripada hidayah Allah.

Kekusyukan dirinya terhadap kitab suci Al-Quran menyebabkan dia terlupa pada dunia seketika. Sudah masuk waktu Zuhur. Sungguh Luqman tidak menyangka dia telah membaca ayat suci itu selama 2jam. Itulah kelebihan mereka yang memahami pengertian Al-Quran. Dia akan menghayatinya hingga terlupa akan persekitarannya.

Terus Luqman solat berjemaah dengan saudara-saudara Muslim yang lain. Adalah lebih baik solat berjemaah berbanding bersendirian kerana pahalanya 27 kali ganda. Ruginya mereka yang tidak solat berjemaah. Sungguh rugi. Sebaik sahaja solat, Luqman bersiap sedia untuk memulakan pencariannya lagi.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam."

"Tidak pernah ana nampak saudara di sini. Saudara musafir?"

"Tak. Saya selalunya solat di masjid di sana tetapi kebetulan lalu di sini, saya solat di sini je," jawab Luqman dengan senyuman yang senantiasa terlekat di bibirnya.

"Begitu. Ke mana tujuan saudara selepas ni?"

"Saya tengah cari kerja. Sayangnya, masih belum ada rezeki."

"Insya-Allah, Allah bersama-sama dengan mereka yang senantiasa ingat kepada-Nya. Semoga harimu ini dilimpahi rahmat dan rezeki."

"Insya-Allah, Amin. Saya pergi dulu. Terima kasih. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam warrahmatullah wabarokatuh."

Benar. Allah akan sentiasa berada di sisi hamba-Nya. Malah lebih dekat daripada nadi kita sendiri. Luqman memulakan perjalanan dengan bacaan ayat Kursi. Dengan bacaan Bismillah, Luqman meneruskan jihadnya.

***

Asar hampir tiba namun Luqman masih tidak mahu berputus asa. Tidak mahu janji pada Fitri terbengkelai begitu sahaja. Tidak mahu perjalanannya pada hari ini berakhir dengan sia-sia. Tiba dia di sebuah restoran. Tampaknya pekerja-pekerja sudah bersiap-siap untuk membuka restoran itu. Luqman menghampiri salah seorang pekerja gadis muda.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam. Ye, ada yang saya boleh tolong?"

"Maafkan saya. Kat sini ada kerja kosong?"

"Urm.. Sekejap ek. Duduklah dulu."

Gadis muda itu pergi ke satu bilik. Luqman hanya duduk memerhatikan restoran itu. Tampak antik. Begitu indah rekaan bentuk dalamannya. Kawasannya pula bersih. Berkali-kali Luqman berselawat ke atas Nabi. Mengharapkan rezekinya di sini.

"Encik ada tanya kerja kosong ke tadi?"

Luqman berpaling. Seorang lelaki berdiri di hadapannya. Mereka berjabat tangan.

"Ya, ada ke?"

"Maaf, encik. Tempat sini memang dah penuh."

Hatinya hancur luluh lagi. Namun, entah kenapa terasa ada semangat yang menyelubungi dirinya tika itu.

"Saya bukan nak memaksa Tuan. Tapi saya harap sangat ada pekerjaan kat sini. Saya tak kisah kerja apa pun. Basuh pinggan pun saya sanggup asalkan kerja tu halal."

Tuan muda itu terfikir buat seketika. Sebenarnya dia rasa kasihan dengan Luqman namun dia benar-benar buntu. Pekerjaan sudah penuh.

"Saya pasti, bila bulan Ramadhan ni, ramai yang akan datang ke sini. Jadi, mesti pekerja-pekerja Tuan tak menang tangan nak melayan pelanggan. Insya-Allah, saya cuba kurangkan bebanan tu."

Luqman cuba meyakininya. Mengharapkan hati Tuan muda itu lembut sedikit mendengar pernyataannya. Akhirnya, terlihat Tuan Muda itu tersenyum.

"Baiklah. Tapi Encik tak kisah kalau terpaksa bekerja sebagai steward?"

"Takpe. Saya memang tak kisah."

"Kalau macam tu, Encik boleh mulakan pekerjaan malam ni."

"Alhamdulillah. Terima kasih, Tuan. Semoga hari Tuan dilimpahi rezeki selalu."

Hati Luqman berbunga. Terasa bebanan yang ditanggung selama ini terus hancur berderai dari bahunya. Sungguh dia gembira. Sungguh dia terasa senang. Insya-Allah, impian anaknya dapat dilaksanakan. Membeli kasut raya idaman Fitri. Namun, takdir penentu segalanya.

(Insya-Allah, bakal bersambung. Terima kasih sebab sudi membaca. Wassalam~)

0 0000 je berani komen: